Saya berkesempatan
memantau dan merentas pelatih-pelatih guru yang sedang mengikuti praktikum
sekarang ini. Dalam pemantauan tersebut saya berjumpa dengan Guru Besar atau
Penolong Kanan sekolah yang dilawati. Mereka secara keseluruhan memberikan
komen yang positif dan ada juga pada tahap sangat positif sehingga mencadangkan
agar pelatih ini ditempatkan di sekolah mereka apabila keluar nanti.
Sebagai pensyarah saya
sangat teruja dan berbangga dengan pujian yang diberikan. Pun begitu ada juga
elemen-elemen negatif yang dapat saya perhatikan. Ada juga guru datang
berbisik kepada saya supaya menegur pelatih agar berbincang dengan guru
pembimbing atau guru kelas jika mahu mengambil alih sesuatu kelas. Maksudnya
cara mereka (pelatih-pelatih ini) tidak boleh sesuka hati menukar atau mengubah
suai masa kelas berlangsung.
Satu penemuan yang
agak mengejutkan ketika mana saya mengajukan soalan-soalan berikut sewaktu memantau kes cemerlang dan pemantauan rutin. “ Siapa nama
Pengarah IPG Ipoh? Siapa nama Timbalan Pengarah IPG Ipoh? Berapa ramai
Ketua-Ketua Jabatan di IPG Ipoh dan Siapa Ketua Jabatan di jabatan kamu? ..Amat
memeranjatkan tiada seorang pun dapat menjawab dengan 100% betul. Pada saya
tidak kenal Ketua Jabatan mungkin boleh dimaafkan lagi tetapi kalau tidak kenal
Pengarah dan Timbalan Pengarah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kenapa boleh jadi begini? Tentu ada kesilapan
di mana-mana.
Persoalannya, bolehkah
mereka dianugerahkan Pelatih Cemerlang? Markah P&P mereka memang cemerlang. Saya juga bertanyakan
kepada mereka jika kamu dilantik menjadi Duta IPG Ipoh bolehkah kamu berfungsi
dengan baik? Semua akur bahawa mereka tidak mempunyai kriteria itu.
Ini sekadar menjadi
bahan perbincangan walaupun bukan subjek untuk tindakan. Sesungguhnya yang tersirat itu lebih jitu dan tekal untuk dimanfaatkan. Apa komen anda?
KJ Sains IPGK Ipoh.

