Wednesday, September 19, 2012

Siapa Sepatutnya Pelatih Cemerlang?




Saya berkesempatan memantau dan merentas pelatih-pelatih guru yang sedang mengikuti praktikum sekarang ini. Dalam pemantauan tersebut saya berjumpa dengan Guru Besar atau Penolong Kanan sekolah yang dilawati. Mereka secara keseluruhan memberikan komen yang positif dan ada juga pada tahap sangat positif sehingga mencadangkan agar pelatih ini ditempatkan di sekolah mereka apabila keluar nanti.

Sebagai pensyarah saya sangat teruja dan berbangga dengan pujian yang diberikan. Pun begitu ada juga elemen-elemen negatif yang dapat saya perhatikan. Ada juga guru datang berbisik kepada saya supaya menegur pelatih agar berbincang dengan guru pembimbing atau guru kelas jika mahu mengambil alih sesuatu kelas. Maksudnya cara mereka (pelatih-pelatih ini) tidak boleh sesuka hati menukar atau mengubah suai masa kelas berlangsung.

Satu penemuan yang agak mengejutkan ketika mana  saya  mengajukan soalan-soalan berikut sewaktu memantau kes cemerlang dan pemantauan rutin. “ Siapa nama Pengarah IPG Ipoh? Siapa nama Timbalan Pengarah IPG Ipoh? Berapa ramai Ketua-Ketua Jabatan di IPG Ipoh dan Siapa Ketua Jabatan di jabatan kamu? ..Amat memeranjatkan tiada seorang pun dapat menjawab dengan 100% betul. Pada saya tidak kenal Ketua Jabatan mungkin boleh dimaafkan lagi tetapi kalau tidak kenal Pengarah dan Timbalan Pengarah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.  Kenapa boleh jadi begini? Tentu ada kesilapan di mana-mana.

Persoalannya, bolehkah mereka dianugerahkan Pelatih Cemerlang? Markah P&P  mereka memang cemerlang. Saya juga bertanyakan kepada mereka jika kamu dilantik menjadi Duta IPG Ipoh bolehkah kamu berfungsi dengan baik? Semua akur bahawa mereka tidak mempunyai kriteria itu.  

Ini sekadar menjadi bahan perbincangan walaupun bukan subjek untuk tindakan. Sesungguhnya yang tersirat itu lebih jitu dan tekal untuk dimanfaatkan. Apa komen anda?


KJ  Sains IPGK Ipoh.


No comments:

Post a Comment